ANALISIS KRITERIA KERJAYA GURU SEBAGAI PROFESIONAL DALAM PERKHIDMATAN AWAM

Terdapat enam kriteria profesion keguruan sebagai kerjaya profesional iaitu:

1.     Kerjaya unik

2.     Tahap pendidikan yang tinggi

3.     Latihan yang lama

4.     Kod Etika Perkhidmatan

5.     Persatuan

6.     Tanggungjawab

 

Kerjaya Unik

Hanya guru yang berkemampuan memberi perkhidmatan terbaik untuk membangunkan personaliti, kebolehan intelek,rohani, emosi dan jasmani pelajar secara menyeluruh, bersepadu,seimbang dan harmoni. Tugas seorang guru bukan hanya menjadi penyampai, tetapi juga seorang kaunselor, pentadbir, peransang (motivator), pemimpin dan pengurus instrukpersonal. Keunikan profesion ini hanya dapat dirasai oleh individu yang terlibat dalam profesion ini. Walaupun kanak-kanak mempunyai ibu bapa, televisyen dan internet di rumah, namun hanya guru yang merupakan pakar terlatih untuk mewariskan ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai, kebudayaan dan kepercayaan kepada generasi yang seterusnya.

 

Tahap pendidikan yang tinggi

Seorang guru perlu menjalani tempoh pengajian selama 4-5 tahun untuk menguasai 3 komponen untuk memiliki kriteria guru profesional iaitu

·       Pengetahuan dan kefahaman

Shulman (1986), menggariskan 7 kategori pengetahuan yang harus dihayati dan dikuasai oleh guru iaitu pengetahuan tentang pedagogi umum,kandungan subjek, pedagogi kandungan subjek, kurikulum,pelajar, konteks pendidikan, falsafah,matlamat, tujuan dan nilai pendidikan.

 

·       Kemahiran kaedah dan teknik

Kemahiran ikhtisas yang merangkumi kemahiran mengurus bilik darjah, menggunakan metodologi pengajaran,membina dan mengguna bahan bantu pengajaran dengan tujuan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Guru juga mesti mempunyai kemahiran-kemahiran seperti kemahiran teknologi, profesional, komunikasi, interpersonal dan intrapersonal.

 

·       Amalan nilai profesional

Nilai adalah sesuatu yang merujuk kepada amalan nilai-nilai murni, perlakuan guru yang penyayang, bepekerti mulia, berdaya tahan, patriotik, inovatif, kreatif, motivatif dan patuh kepada Etika Profesionalisme Keguruan.

 

Latihan yang lama

Bagi mendalami ketiga-tiga komponen tersebut, seorang guru haruslah mendapat latihan selama 4-5 tahun di universiti atau Institusi Pendidikan Guru. Bidang kerja profesional adalah pekerjaan yang penting dan harus dilakukan dengan betul. Maka dengan itu, seseorang haruslah mendapatkan latihan ikhtisas terlebih dahulu sebelum menceburkan diri dalam bidang tersebut. Latihan ikhtisas ini membolehkan mereka mahir dan memahami tanggungjawab yang harus mereka pikul semasa melaksanakan tugas mereka.

 

Kod Etika Perkhidmatan

Etika merupakan suatu sistem yang berkaitan dengan dasar akhlak dan tingkah laku bagi sesuatu kumpulan manusia atau organisasi. Sistem dasar ini meliputi aspek-aspek moral yang baik dan yang buruk, serta yang betul dan yang salah dengan tujuan memberi garis panduan kepada ahli-ahli berkenaan. Dalam konteks perguruan, etika yang dipegang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ialah “Tatasusila Profesion Keguruan”. Etika ini merangkumi empat komponen iaitu tanggungjawab terhadap pelajar, tanggungjawab terhadap ibu bapa, tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara serta tanggungjawab terhadap rakan sejawat profesion keguruan. Etika ini juga menjadi garis panduan dan dasar yang harus dipatuhi oleh semua kakitangan perguruan. Sekiranya seseorang kakitangan melanggar etika ini, tindakan tatatertib dan hukuman sewajarnya akan dikenakan terhadap individu tersebut.


Persatuan

Kebanyakan profesion mempunyai suatu badan atau organisasi yang terdiri daripada pelbagai jawatan kuasa, pasukan petugas dan sebagainya. Kerjaya guru juga tidak terkecuali. Contoh persatuan atau organisasi yang disertai oleh kakitangan perguruan ialah Sarawak Teacher’s Union dan KPPK yang dikenali sebagai Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia. Badan-badan ini mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap ahli-ahli mereka yang telah melanggar kod etika yang dipersetujui.

 

Tanggungjawab

Ahli suatu profesion seperti guru diamanahkan dengan tanggungjawab terhadap semua tindakan dan keputusan yang dibuat. Oleh kerana perkhidmatan yang diberikan oleh seseorang profesional itu melibatkan kebajikan manusia, maka tanggungjawabnya amatlah berat. Hal ini juga kerana profesion sebagai seorang guru merupakan salah satu profesion yang sangat mencabar. Buktinya, guru kini telah dibebankan dengan pelbagai tugasan pentadbiran yang telah menjadi rutin pekerjaan mereka seperti mengisi borang, mengutip yuran, mengemaskini kedatangan pelajar, menyediakan laporan prestasi, menyediakan soalan ujian dan peperiksaan, memberi bimbingan dan sebagainya bagi memajukan pelajarnya. Persepsi yang menyatakan bahawa guru ibarat "ibu bapa kedua" secara tidak langsung menggambarkan tanggungjawab yang besar kepada guru. Hal ini dikatakan demikian kerana kebanyakan ibu bapa meletakkan sepenuh kepercayaan dan tanggungjawab kepada guru untuk mengajar anak mereka supaya cemerlang dalam bidang akademik.


Comments

Popular posts from this blog

ANALISIS KOMPONEN STANDARD GURU MALAYSIA KE ARAH MELAHIRKAN GURU MALAYSIA YANG BERTARAF DUNIA