ANALISIS KOMPONEN STANDARD GURU MALAYSIA KE ARAH MELAHIRKAN GURU MALAYSIA YANG BERTARAF DUNIA

Standard Guru Malaysia (SGM) menggariskan kompetensi profesional yang harus dicapai oleh guru dan keperluan yang patut disediakan bagi membolehkan guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan.

 

Standard Guru Malaysia dibentuk dan perlu dilaksanakan bagi melahirkan guru Malaysia yang bertaraf dunia. Dalam Standard Guru Malaysia, terdapat 3 komponen utama iaitu Komponen Standard (S), Komponen Keperluan (K), dan Komponen Asas Penentuan Standard & Keperluan. Matlamat Standard Guru Malaysia yang diperkenalkan ini adalah untuk melahirkan Guru Malaysia yang unggul dan membangunkan modal insan yang bertaraf dunia.

 

Komponen Asas Penentuan Standard & Keperluan merangkumi lima aspek iaitu Misi Nasional, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Tatasusila Profesion Keguruan dan Etika Kerja KPM. Misi Nasional adalah bertujuan untuk mencapai prestasi yang tinggi dan impak maksimum daripada pembangunan nasional. Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan usaha yang berterusan untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk menghasilkan insan yang seimbang dan harmonis dari aspek intelek, rohani, emosi, jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang memiliki ilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan mampu memberi sumbangan terhadap keharmonian keluarga, masyarakat dan negara.

 

Selain itu, kandungan dalam Falsafah Pendidikan Guru adalah untuk melahirkan guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung warisan negara serta menyanjung aspirasi kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Tatasusila Profesion Keguruan adalah bertujuan untuk menjaga nama baik profesion keguruan serta meningkatkan lagi mutu profesion bagi semua guru Malaysia. Etika Kerja Kementerian Pendidikan Malaysia pula dilaksanakan dan dihayati berdasarkan enam prinsip iaitu niat yang betul, perlakuan yang baik, penggerak ke arah kebaikan, memperkotakan apa yang dikatakan, berdisiplin dan beradab serta menghargai dan bertanggungjawab terhadap hasil usaha organisasi.

 

Komponen Standard (S) bagi S1 adalah amalan nilai profesionalisme keguruan. Ia memperincikan kompetensi amalan nilai profesionalisme keguruan yang berdasarkan domain diri, profesion dan sosial yang patut ada pada seseorang yang bergelar guru. Contohnya, guru harus bersikap adil dan tidak berat sebelah terhadap muridnya. Bagi S2 pula, iaitu pengetahuan dan kefahaman. Standard ini memperincikan kompetensi ilmu pengetahuan dan kefahaman tentang subjek pengkhususan, ilmu pendidikan, kurikulum dan kokurikulum yang sepatutnya ada pada seseorang guru. Sebagai contoh, seorang guru harus menguasai ilmu pengetahuan yang mantap dalam bidangnya agar dapat meningkatkan profesionalisme keguruannya dan menyampaikan pengajarannya dengan efektif. Komponen bagi Standard (3) adalah memperincikan kompetensi kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang patut dikuasai oleh seseorang guru. Contohnya, guru yang memiliki kemahiran dalam menyediakan perancangan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan Sukatan Pelajaran yang ditetapkan.

 

Seterusnya, komponen bagi Keperluan (K) terbahagi kepada lima keperluan. K1 adalah kelayakan masuk program latihan perguruan. Keperluan ini memperincikan syarat, kriteria dan prosedur bagi ambilan calon program latihan perguruan. Contohnya, seorang calon yang memohon program latihan perguruan harus menepati syarat kelayakan yang telah ditetapkan seperti melepasi ujian kelayakan semasa menghadiri sesi temu duga. Keperluan (K2) adalah latihan, pentaksiran dan penilaian. Keperluan ini memperincikan program latihan, sistem pemantauan, dan pentaksiran dan penilaian. Sebagai contoh, pentaksiran dan penilaian berdasarkan peraturan peperiksaan dan penilaian yang berkuat kuasa. Selain dari itu, Keperluan (K3) iaitu kolaborasi akan memperincikan permuafakatan antara agensi dan institusi latihan perguruan dengan pihak sekolah, institusi pendidikan tinggi tempatan dan luar negara, badan bukan kerajaan serta lain-lain institusi yang boleh memantapkan lagi latihan perguruan. Contohnya, institusi latihan perguruan boleh bekerjasama dengan pihak sekolah bagi meningkatkan lagi kualiti latihan perguruan.

 

Keperluan (K4) iaitu infrastruktur dan infostruktur akan memperincikan prasarana pengajaran dan pembelajaran, informasi dan komunikasi bagi mengoptimum kecekapan dan keberkesanan program latihan. Contohnya, institusi latihan perguruan harus menyediakan kemudahan fizikal yang mencukupi bagi memenuhi keperluan kurikulum dan kokurikulum. Pihak sekolah harus menyediakan kemudahan makmal di sekolah agar guru mata pelajaran Sains boleh menyampaikan pengajaran kepada murid-murid dengan lebih berkesan. Akhir sekali, Keperluan (K5) iaitu jaminan kualiti memperincikan semua aspek perancangan dan pelaksanaan dasar, strategi, prosedur serta aktiviti bagi mewujudkan keyakinan bahawa kualiti latihan sentiasa terpelihara dan ditingkatkan secara berterusan. Sebagai contoh penandaarasan latihan perguruan dan pemastian Kod Amalan Jaminan Kualiti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Secara ringkasnya, perincian standard dan keperluan yang digariskan sangat penting bagi menjamin program latihan yang dilaksanakan akan melahirkan guru yang kompeten, kreatif, inovatif dan berketerampilan.

 

Guru kompeten ialah guru yang memiliki kemahiran dalam menguruskan kaedah pengajaran dengan efektif. Interaksi dua hala antara guru dengan murid dan murid dengan guru memainkan peranan yang penting agar isi pembelajaran dapat disampaikan dan difahami oleh murid. Contohnya, guru mahir dalam berinteraksi dengan murid.

 

Modal insan unggul didefinisikan sebagai ciri-ciri yang dimiliki oleh manusia yang mengakibatkan mereka menjadi lebih produktif. Modal insan ini tidak boleh dipindahkan dari seseorang individu kepada individu yang lain tetapi individu tersebut perlu melabur untuk mendapatkannya. Pembangunan modal insan unggul pula adalah suatu proses yang bertujuan untuk melahirkan jiwa yang bertaqwa. Ketiadaan jiwa yang bertaqwa akan menyebabkan fungsi akal dan fizikal menjadi lumpuh. Pembangunan modal insan ini harus lengkap dengan pembangunan jiwa, hati dan naluri bagi menghasilkan insan yang ada sifat keinsanannya.

 

 

 

Rajah 1 : Model Standard Guru Malaysia

 

l  Amalan nilai profesionalisme keguruan (S1), pengetahuan dan kefahaman (S2) serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran (S3) digambarkan oleh tiga lingkaran kecil yang bertindan ; membawa maksud ketiga-tiga aspek tersebut harus dikuasai oleh guru.

l  Lingkaran besar putih yang melingkari Standard menggambarkan Keperluan utama yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai Standard.

l  Keperluan (K1) adalah kelayakan masuk program latihan perguruan, latihan, pentaksiran dan penilaian (K2), kolaborasi (K3), infrastruktur dan infostruktur (K4) dan jaminan kualiti (K5).

l  Lingkaran besar yang memagari Keperluan (K) menggambarkan asas penentuan Standard dan Keperluan iaitu Misi Nasional, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Tatasusila Profesion Keguruan, dan Etika Kerja Kementerian Pendidikan Malaysia.

l  Glob di tengah-tengah lingkaran Standard (S) merujuk kepada kualiti guru bertaraf dunia yang dipertanggungjawab membangunkan modal insan berminda kelas pertama.

Comments

Popular posts from this blog

ANALISIS KRITERIA KERJAYA GURU SEBAGAI PROFESIONAL DALAM PERKHIDMATAN AWAM